Selasa, 11 Maret 2014

ADUN Dakwa Paip Pecah Punca Hakisan Tanah


KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng mendakwa kejadian hakisan tanah yang berlaku di Taman Mega Jaya, Ampang di sini semalam disebabkan paip utiliti milik Indah Water Konsortium (IWK) pecah.

Beliau mendakwa, insiden paip pecah tersebut menyebabkan air dari paip berkenaan melimpah dan mengalir dengan deras hingga menjejaskan cerun bukit yang terdapat di perumahan itu.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan penstrukturan bahagian hakisan tanah demi keselamatan penduduk,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Way Keng bagaimanapun mendakwa, kejadian tersebut menjejaskan penghuni lima buah rumah di Taman Mega Jaya kerana terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu.

Dakwanya, penduduk terbabit hanya boleh kembali ke rumah masing-masing selepas kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan siap dilakukan oleh pihak berkuasa.

Justeru, beliau menggesa IWK supaya mengelakkan kejadian paip pecah daripada berulang dengan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar